Saturday, January 30, 2010

PENGGERAK RAKAN MUDA BANTU RAKAN MUDA



Penggerak Rakan Muda diseru untuk mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menyampaikan agenda kerajaan kepada masyarakat.

Penggerak Rakan Muda perlu bergiat lebih aktif dalam mengemblengkan tenaga bagi mendekatkan diri mereka kepada golongan muda, pihak kerajaan, persatuan belia dan badan-badan NGO.

Golongan muda masa kini amat perlu didekati bagi untuk memperjelaskan mengenai misi dan visi nasional kerajaan terutama yang melibatkan mengenai progam belia. Penggerak Rakan Muda juga diseru untuk mewujudkan program dan aktiviti yang berterusan serta mampu menarik minat golongan remaja bersesuaian dengan minat dan selera remaja masa kini.

Pakej rangsangan Kementerian mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta yang akan dapat membantu salah satu usaha pihak Kementerian dalam memperluaskan Pusat Siber Rakan Muda ke seluruh Kawasan Parlimen. Pusat Siber Rakan Muda diharapkan akan dapat membantu golongan remaja untuk mengakses maklumat dalam suasana yang lebih kondusif dan terkawal.

Tambah beliau juga lagi di samping membantu pegawai-pegawai belia dan sukan, Pengerak Rakan Muda seharusnya dapat bekerjasama secara bersepadu dalam memberikan laporan dan maklumbalas mengenai kegiatan dan progam aktiviti yang dijalankan kepada pihak kementerian.

Wednesday, January 27, 2010

Rokok RM50 sekotak untuk selamatkan generasi muda !




Sebenarnya saya terpanggil untuk melontarkan cadangan menaikkan harga rokok daripada RM9.30 kepada RM50 bagi kotak berisi 20 batang kerana didapati ketagihan merokok di kalangan rakyat Malaysia semakin ketara dan berada diparas amat menakutkan.

Tahap ketagih merokok terutama membabitkan generasi muda turut membimbangkan kerajaan dan bagi membendung gejala tersebut, maka kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit setahun untuk melancarkan pelbagai kempen supaya tabiat itu dihentikan.

Kerajaan melalui pelbagai agensi termasuk kementerian-kementerian tertentu telah melancarkan pelbagai program kesedaran, kempen termasuk mengadakan zon larangan merokok di beberapa tempat awam.



Kerajaan juga dalam usaha memberikan kesedaran kepada perokok, telah mewajibkan setiap kotak rokok mempamerkan pelbagai gambar tertera kesan penyakit kronik akibat merokok supaya perokok berasa gerun dan akan menghentikan tabiat merokok.

Malah amat menyedihkan perokok sedikit pun tidak berasa gerun dengan gambar-gambar tersebut malah menjadi bahan ketawa mereka.

Bagaimanapun, saya berasa sedih, kecewa dan terkilan kerana usaha yang kerajaan lakukan untuk mengurangkan tabiat merokok dengan membabitkan kos perbelanjaan jutaan ringgit setahun tidak memberi sebarang hasil.



Kempen dan pelbagai cara dilakukan kerajaan untuk mengurangkan tabiat merokok sebelum ini didapati gagal dan tidak menepati sasaran, sebaliknya perokok semakin bertambah disamping kemasukan rokok ‘haram’ juga turut meningkat.



Dalam erti kata lain, kempen yang dilancarkan kerajaan untuk mengurangkan tabiat merokok nampaknya seperti ‘mencurah air di daun keladi’, malah golongan yang ketagih merokok meningkat setiap tahun dan duit rakyat dibazirkan begitu sahaja.



Malah saban hari kita berpeluang melihat remaja-remaja sama ada lelaki dan perempuan termasuk mereka yang masih bersekolah (sama ada rendah dan menengah) merokok secara bebas.



Anak-anak muda kita terutama para pelajar sanggup menghabiskan wang saku untuk membeli rokok daripada menggalas perut semasa di sekolah, inilah bahana yang perlu kita berikan perhatian serius.



Siapa yang akan bertanggungjawab jika anak-anak kita (pelajar sekolah) menjadi penagih rokok dan akhirnya ada yang terjerat dengan najis dadah yang boleh meruntukan masa depan mereka ?

Sehubungan itu, saya tetap mempertahankan cadangan saya supaya harga rokok dinaikkan kepada RM50 sekotak kerana saya tidak mahu anak-anak kita khususnya generasi muda terjebak dengan ketagihan merokok yang langsung tidak memberi sebarang manfaat, sebaliknya terdedah kepada risiko kesihatan.



Selain para pelajar sekolah terjebak dengan ketagihan merokok, perokok tegar juga telah membazirkan wang dengan begitu mudah, malah dilaporkan seorang perokok tanpa sedar telah membelanjakan ribuan ringgit setahun hanya untuk membeli rokok.

Justeru itu, apabila kerajaan menaikkan harga kepada RM50 sekotak sepertimana yang saya cadangkan itu, maka kuasa membeli untuk rokok akan menurun kerana harganya terlalu mahal.

Dengan harga yang begitu mahal, sudah tentu pelajar sekolah juga tidak berkemampuan lagi untuk membeli rokok.



Bukan setakat pelajar sekolah, malah saya percaya mereka yang berpendapatan rendah juga akan berfikir banyak kali untuk membeli sekotak rokok yang berharga RM50, kerana nilai RM50 itu adalah terlalu besar dan bagi mereka nilai RM50 itu boleh dibelanjakan untuk keperluan harian sekeluarga.

Sanggupkah mereka membelanjakan RM50 hanya semata-mata untuk sekotak rokok daripada membeli dua kampit beras untuk di makan oleh keluarganya di rumah ?

Jika mereka begitu ketagih untuk merokok, mungkin kadar merokok akan dikurangkan. Jika lazimnya mereka menghisap 60 batang sehari (bersamaan 3 kotak), barangkali mereka akan kurangkan kepada sekotak (RM50) untuk sebulan dan ini merupakan petanda baik untuk mereka menghentikan tabiat merokok.



Ada yang mengatakan jika cadangan saya itu diterima, maka kegiatan penyeludupan rokok akan berleluasa dan perokok lebih cenderung untuk membeli ‘rokok haram’ daripada ‘rokok halal’.

Bagaimanapun, kegiatan menyeludup ‘rokok haram’ ini sudah lama pun berlaku termasuk kebanjiran pelbagai jenis rokok kretek daripada negara jiran.



Saya tidak nafikan akan berlakukegiatan penyeludupan, tetapi saya juga ingin bertanya, apakah sebenarnya tugas dan tanggungjawab pihak penguatkuasa undang-undang?

Maka itu, di sinilah tanggungjawab sebenar dan komitmen agensi penguatkusaan seperti Jabatan Kastam, Perdagangan Dalam Negeri dan PDRM untuk lebih tegas membanteras kegiatan penyeludupan ini.



Jika semua agensi penguatkuasaan tegas, komited dan bertanggungjawab, saya yakin masalah kegiatan penyeludupan ini akan berjaya di atasi, bukan setakat rokok, malah pelbagai barangan lain.

Dengan kenaikkan harga rokok itu juga, pada hemat saya kerajaan akan mengaut keuntungan hasil cukai dan ini turut membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Sama ada pro dan kontra terhadap cadangan saya itu, tetapi hakikatnya kita perlu memikirkan bersama bagaimana cara dan kaedah terbaik untuk mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.



Apa yang penting, mengurangkan tabiat merokok sudah pasti akan melahirkan warganegara yang sihat, cerdas dan sentiasa ceria untuk mencorakkan masa depan negara.

PUSAT SIBER RAKAN MUDA DI KOMPLEKS RAKAN MUDA KAMPAR, PERAK